Polisi Privasi
Kemas kini terakhir:
WentTheFox ("kami", atau "Pembangun") mengendalikan laman sesawang HammerTime ("Laman"), dan HammerTimeBot ("Bot", atau "Apl"), bersama-sama dipanggil Projek HammerTime ("Projek"). Halaman ini memberitahu anda polisi kami mengenai pengumpulan, penggunaan dan pendedahan Maklumat Peribadi yang kami terima daripada para pengguna Projek ini ("anda", "Pengguna", atau bersama-sama dipanggil "Para Pengguna").
Walaupun nama "HammerTime" ("Nama Projek") diterbitkan daripada nama lama Discord, Inc. ("Discord") iaitu "Hammer & Chisel",[*] Projek ini tidak mempunyai kaitan dalam sebarang cara, rupa, atau bentuk, dengan Discord, mahupun M.C. Hammer, yang mana lagunya[**] menampilkan frasa ini dengan ulungnya. Pembangun tidak memegang tanda dagang atau hak cipta ke atas Nama Projek.
Pengumpulan dan Penggunaan Maklumat
Ketika anda menggunakan Projek ini, kami tidak meminta mahupun menggalakkan anda untuk memberikan kami sebarang Maklumat Pengenalan Peribadi ("PII", "Maklumat Peribadi") yang boleh digunakan untuk mengenal pasti diri anda sebagai seorang individu. PII boleh termasuk, tetapi tidak terhad kepada: nama anda, tarikh lahir, nombor pengenalan kebangsaan, lokasi, nombor telefon.
Log masuk disediakan menggunakan API OAuth 2 Discord ("API") yang disulitkan menggunakan HTTPS juga. Ketika proses pengesahan OAuth, Laman kami tidak menerima nama pengguna mahupun kata laluan, sebaliknya hanya suatu token yang boleh digunakan untuk mengesah betul identiti pengguna menggunakan API ini. Untuk tujuan prestasi kami menyimpan maklumat asas yang disediakan oleh API tersebut (ID pengguna, nama pengguna semasa, nama paparan, pautan avatar) secara tempatan.
Maklumat ini tidak dikeluarkan daripada pangkalan data kami secara automatiknya sekiranya anda menyahaktifkan akaun Discord anda, jadi sila pastikan anda menghubungi kami sekiranya anda ingin data anda dikeluarkan.
Data Log
Kami mengumpulkan maklumat yang pelayar anda hantar setiap kali anda melawati Laman kami ("Data Log"). Data Log ini boleh termasuk maklumat seperti alamat IP komputer anda, sistem pengoperasian, jenis pelayar, versi pelayar, halaman di Laman kami yang anda lawati, masa dan tarikh lawatan anda.
Data Log ini hanya disimpan di pelayan kami dan tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak ketiga. Data Log digunakan untuk tujuan diagnostik, dan dikongsikan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang sekiranya diminta secara eksplisit. Maklumat ini disimpan sehingga 14 hari dan dibuang selepas itu.
Bot boleh menerima interaksi daripada Para Pengguna melalui klien Discord, yang merangkumi perintah tanda miring dan perintah menu konteks ("Tindakan", "Perintah", atau bersama-sama dipanggil "Para Perintah"). Perintah tanda miring juga boleh dijalankan dengan pasangan kekunci-nilai berstruktur yang disediakan oleh Pengguna ("Pilihan"). Bot merekodkan penjalanan Perintah untuk tujuan nyahpepijat, yakni: nama pengguna Discord dan pengenal pasti Snowflake ("ID") bagi Pengguna yang menjalankan Perintah tersebut, nama Perintah berkenaan (termasuk kesemua Pilihan) dan juga ID bagi Pelayan di mana Perintah tersebut dijalankan. Data ini disimpan di pelayan Projek sehingga 30 hari, dan hanya boleh dicapai oleh Pembangun.
Apabila anda menjalankan Para Perintah anda patut mengelak daripada menyertakan sebarang Maklumat Peribadi. Sesetengah maklumat mungkin masih disimpan di Log Aplikasi kami, jadi sila hubungi kami menerusi kaedah yang dinyatakan di akhir dokumen ini untuk memberitahu kami sekiranya campur tangan kami diperlukan.
Telemetri & Statistik
Untuk menaksir kegunaan Bot dan seterusnya memacu keputusan pembangunan (cth. penambahan/pengeluaran suatu ciri), suatu set data yang khusus mengenai Para Perintah dan kegunaannya boleh dikumpulkan ("Telemetri"). Maklumat Telemetri hanya terhad kepada perintah mana dan pilihan apa yang digunakan, dan bilakah penggunaanya, tanpa sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti (oleh itu tidak pernah termasuknya ID pelayan atau pengguna, mahupun sebarang nilai yang disediakan pengguna, dan tanpa nama sepenuhnya). Telemetri disimpan selama-lamanya dan statistik yang diterbitkan daripadanya bertujuan untuk dipaparkan dan dikongsikan secara umum dalam bentuk agregat.
Dengan menggunakan Projek, Para Pengguna bersetuju akan pengumpulan Telemetri secara lalainya. Sekiranya seorang Pengguna ingin memilih untuk tidak menyertai pengumpulan Telemetri, dia boleh menunjukkan keutamaannya melalui pilihan yang berkaitan di halaman Tetapan Apl.
Kuki
Kuki ialah fail-fail dengan jumlah data yang kecil. Kuki dihantar ke pelayar anda dari suatu laman sesawang dan disimpan di pemacu keras komputer anda.
Kami menggunakan "kuki" untuk menyimpan maklumat. Anda boleh mengarahkan pelayar anda untuk menolaj kesemua kuki atau untuk menunjukkan apabila suatu kuki sedang dihantar. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak menerima kuki, anda mungkin tidak boleh menggunakan sesetengah bahagian Laman kami.
Untuk para pengguna yang sudah log masuk, suatu kuki berterusan digunakan untuk mengingat status log masuk merentasi sesi pelayar selama 30 hari. Sekiranya anda ingin berhenti diingati, anda boleh sama ada log keluar atau pun kosongkan kuki yang ditetapkan oleh Laman kami.
Keselamatan
Keselamatan Maklumat Peribadi anda amat penting buat kami, tetapi ingat bahawa tiada kaedah penghantaran melalui Internet, atau kaedah simpanan elektronik, itu selamat 100%. Walaupun kami berusaha untuk menggunakan kaedah boleh guna terima secara komersial untuk melindungi Maklumat Peribadi anda, kami tidak boleh menjamin keselamatan mutlaknya.
Laman ini mengguna pakai HTTPS menggunakan suit penyulitan TLS moden untuk melindungi kewibawaan dan menjamin pengangkutan data antara pelayar dan Laman kami. Walau bagaimanapun, kami mengguna pakai perkhidmatan Proksi Berbalik CloudFlare, maknanya sesetengah data yang dihantar ke Laman kami melalui pelayan mereka. CloudFlare dikendalikan di bawah polisi privasi mereka yang tersendiri.
Sekiranya berlaku pelanggaran keselamatan, kesemua pengguna akan diberitahu dalam masa 24 jam sejak dapat tahu melalui notis yang dihantar di laman sesawang ini, di balasan yang dihantar oleh Bot, dan melalui pengumuman di pelayan sokongan Discord milik Bot ini.
Terma & Syarat
Kemas kini terakhir:
Kesemua kod sumber Projek disediakan di GitHub sebagaimana adanya, tanpa sebarang jaminan atau tanggungan. Untuk terma lesen yang penuh, sila lihat lesen MIT, yang mana salinannya boleh dijumpai di setiap repositori. Terma yang digariskan di bawah ini diguna pakai bagi versi Projek yang dihoskan oleh Pembangun ("Tika") dan pengehadan yang dikenakan di sini tidak patut diperlakukan sebagai sekatan pada penggunaan kod sumber Projek ini.
Anda tidak boleh menetapkan pengautomatan untuk menjalankan Para Perintah melalui Tika secara berulangan. Bot ini tidak bertujuan untuk digunakan oleh alatan automatik, seperti bot yang lain, atau sebarang perisian lain yang direka untuk meniru aktiviti pengguna betul. Berbanding anda bergantung pada output Bot kami untuk tujuan pengautomatan, lebih baik anda rujuk pendokumenan bahasa pengaturcaraan bot anda mengenai cara untuk menjana dan manipulasi cap masa UNIX.
Tika ini tidak patut digunakan untuk menolong proses melatih model AI generatif, mahupun untuk membantu memudahkan sebarang acara dan/atau urus niaga berkaitan token tidak sepiawai ("NFT") atau sebarang bentuk kriptowang (cth. Ethereum, Bitcoin).
Capaian anda ke Tika ini boleh dibatalkan bagi sebarang sebab (termasuk tiada sebab) atas budi bicara Pembangun. Sebab boleh termasuk, tetapi tidak terhad kepada: pencabulan terma-terma ini, penyalahgunaan ciri-ciri Tika ini yang disengajakan, ancaman keganasan terhadap Pembangun atau mana-mana penyumbang Projek ini, kegunaan Tika bagi tujuan berniat jahat.
Perubahan & Semakan
Terma & Syarat dan Polisi Privasi ini, bersama-sama dipanggil "Dokumen", berkuat kuasa mulai tarikh kemas kini terakhirnya dan kekal berkuat kuasa kecuali berhubung dengan sebarang perubahan dalam peruntukannya pada masa hadapan, yang akan berkuat kuasa secara serta merta setelah dimasukkan ke halaman ini.
Kami berhak untuk mengemas kini atau mengubah Dokumen ini pada bila-bila masa dan anda patut semak halaman ini secara berkala. Penggunaan anda secara berterusan pada Projek ini setelah kami memasukkan sebarang pengubahsuaian terhadap Dokumen di halaman ini membentuk perakuan anda mengenai pengubahsuaian tersebut dan persetujuan anda untuk mematuhi dan terikat pada Dokumen yang diubahsuai.
Sekiranya kami melakukan sebarang perubahan bahan pada Dokumen ini, kami akan memberitahu anda dengan meletakkan notis yang ulung di laman sesawang kami, dan juga menghantar pengumuman di pelayan sokongan Discord milik Bot ini.
Hubungi Kami
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan mengenai Dokumen ini atau ingin meminta pengeluaran sebarang PII yang kami simpan, sila hubungi kami melalui pelayan Discord milik Bot ini atau menggunakan mana-mana kaedah yang disenaraikan di laman sesawang Pembangun.